Nama beliau ialah Muhammad bin Idris
bin Al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi’ bin Al-Saib bin ‘Ubaid bin Yazid
bin Hashim bin ‘Abd al-Muttalib bin ’Abd Manaf bin Ma’n bin Kilab bin
Murrah bin Lu’i bin Ghalib bin Fahr bin Malik bin Al-Nadr bin Kinanah
bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilias bin Al-Nadr bin Nizar bin Ma’d bin
‘Adnan bin Ud bin Udad. Keturunan beliau bertemu dengan titisan
keturunan Rasulullah s.a.w pada ‘Abd Manaf. Ibunya berasal dari Kabilah
Al-Azd, satu kabilah Yaman yang masyhur.
Perpindahan ke Palestina
Sebelum beliau dilahirkan, keluarganya
telah berpindah ke Palestina karena beberapa keperluan dan ayahnya
terlibat di dalam angkatan perang yang ditugaskan untuk mengawal
perbatasan Islam di sana.
Kelahiran dan Kehidupannya
Menurut pendapat yang masyhur, beliau
dilahirkan di Ghazzah – Palestina pada tahun 150 Hijrah. Tidak lama
sesudah beliau dilahirkan ayahnya meninggal dunia. Tinggallah beliau
bersama-sama ibunya sebagai seorang anak yatim. Kehidupan masa kecilnya
dilalui dengan serba kekurangan dan kesulitan.
Pengembaraan Imam Asy Syafi’i
Hidup Imam Asy Syafi’i (150H – 204H )
merupakan satu siri pengembaraan yang tersusun di dalam bentuk yang
sungguh menarik dan amat berkesan terhadap pembentukan kriteria ilmiah
dan popularitasnya.
Asy Syafi’i di Makkah ( 152H – 164H )
Pengembaraan beliau bermula sejak
beliau berumur dua tahun lagi (152H), ketika itu beliau dibawa oleh
ibunya berpindah dari tempat kelahirannya yaitu dari Ghazzah, Palestina
ke Kota Makkah untuk hidup bersama kaum keluarganya di sana.
Di kota Makkah kehidupan beliau tidak
tetap karena beliau dihantar ke perkampungan Bani Huzail, menurut
tradisi bangsa Arab ketika itu bahwa penghantaran anak-anak muda mereka
ke perkampungan tersebut dapat mewarisi kemahiran bahasa ibunda mereka
dari sumber asalnya yang belum lagi terpengaruh dengan integrasi
bahasa-bahasa asing seperti bahasa Parsi dan sebagainya. Satu perkara
lagi adalah supaya pemuda mereka dapat dibekalkan dengan Al-Furusiyyah
(Latihan Perang Berkuda). Kehidupan beliau di peringkat ini mengambil
masa dua belas tahun ( 152 – 164H ).
Sebagai hasil dari usahanya, beliau
telah mahir dalam ilmu bahasa dan sejarah di samping ilmu-ilmu yang
berhubung dengan Al-Quran dan Al-Hadith. Selepas pulang dari
perkampungan itu beliau meneruskan usaha pembelajarannya dengan beberapa
mahaguru di Kota Makkah sehingga beliau menjadi terkenal. Dengan
kecerdikan dan kemampuan ilmiahnya beliau telah dapat menarik perhatian
seorang mahagurunya iaitu Muslim bin Khalid Al-Zinji yang mengizinkannya
untuk berfatwa sedangkan umur beliau masih lagi di peringkat remaja
yaitu lima belas tahun.
Asy Syafi’i di Madinah ( 164H – 179H )
Sesudah itu beliau berpindah ke
Madinah dan menemui Imam Malik. Beliau berdampingan dengan Imam Malik di
samping mempelajari ilmunya sehingga Imam Malik wafat pada tahun 179H,
yaitu selama lima belas tahun. Semasa beliau bersama Imam Malik hubungan
beliau dengan ulama-ulama lain yang menetap di kota itu dan juga yang
datang dari luar berjalan dengan baik dan berfaedah. Dari sini dapatlah
difahami bahawa beliau semasa di Madinah telah dapat mewarisi ilmu bukan
saja dari Imam Malik tetapi juga dari ulama-ulama lain yang terkenal di
kota itu.
Asy Syafi’i di Yaman ( 179H – 184H )
Ketika Imam Malik wafat pada tahun
179H, kota Madinah diziarahi oleh Gubernur Yaman. Beliau telah
dicadangkan oleh sebahagian orang-orang Qurasyh Al-Madinah supaya
mencari pekerjaan bagi Asy Syafi’i. Lalu beliau melantiknya menjalankan
satu pekerjaan di wilayah Najran. Sejak itu Asy Syafi’i terus menetap di
Yaman sehingga berlaku pertukaran Gubernur wilayah itu pada tahun 184H.
Pada tahun itu satu fitnah ditimbulkan terhadap diri Asy Syafi’i
sehingga beliau dihadapkan ke hadapan Harun Al-Rashid di Baghdad atas
tuduhan Gubernur baru itu yang sering menerima kecaman Al-Shafi’i karena
kekejaman dan kezalimannya. Tetapi ternyata bahwa beliau tidak bersalah
dan kemudiannya beliau dibebaskan.
Asy Syafi’i di Baghdad ( 184H – 186H )
Peristiwa itu walaupun secara
kebetulan, tetapi membawa arti yang amat besar kepada Asy Syafi’i karena
pertamanya, ia berpeluang menziarahi kota Baghdad yang terkenal sebagai
pusat ilmu pengetahuan dan para ilmuan pada ketika itu. Keduanya, ia
berpeluang bertemu dengan Muhammad bin Al-Hassan Al-Shaibani, seorang
tokoh Mazhab Hanafi dan sahabat karib Imam Abu Hanifah dan lain-lain
tokoh di dalam Mazhab Ahl al-Ra’y. Dengan peristiwa itu terbukalah satu
era baru dalam siri pengembaraan Al-Imam ke kota Baghdad yang dikatakan
berlaku sebanyak tiga kali sebelum beliau berpindah ke Mesir.
Dalam pengembaraan pertama ini Asy
Syafi’i tinggal di kota Baghdad sehingga tahun 186H. Selama masa ini
(184 – 186H) beliau sempat membaca kitab-kitab Mazhab Ahl al-Ra’y dan
mempelajarinya, terutamanya hasil tulisan Muhammad bin Al-Hassan
Al-Shaibani, di samping membincarakannya di dalam beberapa perdebatan
ilmiah di hadapan Harun Al-Rashid sendiri.
Asy Syafi’i di Makkah ( 186H – 195H )
Pada tahun 186H, Asy Syafi’i pulang ke
Makkah membawa bersamanya hasil usahanya di Yaman dan Iraq dan beliau
terus melibatkan dirinya di bidang pengajaran. Dari sini muncullah satu
bintang baru yang berkerdipan di ruang langit Makkah membawa satu nafas
baru di bidang fiqih, satu nafas yang bukan Hijazi, dan bukan pula Iraqi
dan Yamani, tetapi ia adalah gabungan dari ke semua aliran itu. Sejak
itu menurut pendapat setengah ulama, lahirlah satu Mazhab Fiqih yang
baru yang kemudiannya dikenali dengan Mazhab Asy Syafi’i.
Selama sembilan tahun (186 – 195H) Asy
Syafi’i menghabiskan masanya di kota suci Makkah bersama-sama para
ilmuan lainnya, membahas, mengajar, mengkaji di samping berusaha untuk
melahirkan satu intisari dari beberapa aliran dan juga persoalan yang
sering bertentangan yang beliau temui selama masa itu.
Asy Syafi’i di Baghdad ( 195H – 197H )
Dalam tahun 195H, untuk kali keduanya
Asy Syafi’i berangkat ke kota Baghdad. Keberangkatannya kali ini tidak
lagi sebagai seorang yang tertuduh, tetapi sebagai seorang alim Makkah
yang sudah mempunyai personalitas dan aliran fiqah yang tersendiri.
Catatan perpindahan kali ini menunjukkan bahwa beliau telah menetap di
negara itu selama dua tahun (195 – 197H).
Di dalam masa yang singkat ini beliau
berjaya menyebarkan “Methode Usuli” yang berbeda dari apa yang dikenali
pada ketika itu. Penyebaran ini sudah tentu menimbulkan satu respon dan
reaksi yang luarbiasa di kalangan para ilmuan yang kebanyakannya adalah
terpengaruh dengan methode Mazhab Hanafi yang disebarkan oleh tokoh
utama Mazhab itu, iaitu Muhammad bin Al-Hasan Al-Shaibani.
Kata Al-Karabisi : “Kami sebelum ini
tidak kenal apakah (istilah) Al-Kitab, Al- Sunnah dan Al-Ijma’,
sehinggalah datangnya Al-Shafi’i, beliaulah yang menerangkan maksud
Al-Kitab, Al-Sunnah dan Al-Ijma’”.
Kata Abu Thaur : “Kata Asy Syafi’i:
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menyebut (di dalam kitab-Nya) mengenai
sesuatu maksud yang umum tetapi Ia menghendaki maksudnya yang khas, dan
Ia juga telah menyebut sesuatu maksud yang khas tetapi Ia menghendaki
maksudnya yang umum, dan kami (pada ketika itu) belum lagi mengetahui
perkara-perkara itu, lalu kami tanyakan beliau …”
Pada masa itu juga dikatakan beliau
telah menulis kitab usulnya yang pertama atas permintaan ‘Abdul Rahman
bin Mahdi, dan juga beberapa penulisan lain dalam bidang fiqih dan
lain-lain.
Asy Syafi’i di Makkah dan Mesir ( 197H – 204H )
Sesudah dua tahun berada di Baghdad
(197H) beliau kembali ke Makkah. Pada tahun 198H, beliau keluar semula
ke Baghdad dan tinggal di sana hanya beberapa bulan sahaja. Pada awal
tahun 199H, beliau berangkat ke Mesir dan sampai ke negara itu dalam
tahun itu juga. Di negara baru ini beliau menetap sehingga ke akhir
hayatnya pada tahun 204H.
Imam Asy Syafi’i wafat pada tahun
204H. Asas Fiqih dan Ushul Fiqih kemudian disebar dan diusaha-kembangkan
oleh para sahabatnya yang berada di Al-Hijaz, Iraq dan Mesir.
Fatwa-Fatwa Imam Asy Syafi’i
Perpindahan beliau ke Mesir
mengakibatkan satu perubahan besar dalam Mazhabnya. Kesan perubahan ini
melibatkan banyak fatwanya semasa beliau di Baghdad turut sama berubah.
Banyak kandungan kitab-kitab fiqahnya yang beliau hasilkan di Baghdad
disemak semula dan diubah. Dengan ini terdapat dua fatwa bagi Asy
Syafi’i, fatwa lama dan fatwa barunya. Fatwa lamanya ialah segala fatwa
yang diucapkan atau ditulisnya semasa beliau berada di Iraq, fatwa
barunya ialah fatwa yang diucapkan atau ditulisnya semasa beliau berada
di Mesir. Kadang-kadang dipanggil fatwa lamanya dengan Mazhabnya yang
lama atau Qaul Qadim dan fatwa barunya dinamakan dengan Mazhab barunya
atau Qaul Jadid.
Di sini harus kita fahami bahwa tidak
semua fatwa barunya menyalahi fatwa lamanya dan tidak pula kesemua fatwa
lamanya dibatalkannya, malahan ada di antara fatwa barunya yang
menyalahi fatwa lamanya dan ada juga yang bersamaan dengan yang lama.
Kata Imam Al-Nawawi : “Sebenarnya sebab dikatakan semua fatwa lamanya
itu ditarik kembali dan tidak diamalkannya hanyalah berdasarkan kepada
ghalibnya sahaja”.
Para Sahabat Imam Asy Syafi’i
Di antara para sahabat Imam Asy Syafi’i yang terkenal di Al-Hijaz (Makkah dan Al-Madinah) ialah :-
- Abu Bakar Al-Hamidi, ‘Abdullah bun Al-Zubair Al-Makki yang wafat pada tahun 219H.
- Abu Wahid Musa bin ‘Ali Al-Jarud Al-Makki yang banyak menyalin kitab-kitab Asy Syafi’i. Tidak diketahui tarikh wafatnya.
- Abu Ishak Ibrahim bin Muhammad bin Al-‘Abbasi bin ‘Uthman bin Shafi ‘Al-Muttalibi yang wafat pada tahun 237H.
- Abu Bakar Muhammad bin Idris yang tidak diketahui tarikh wafatnya.
Sementara di Iraq pula kita menemui ramai para sahabat Imam Al-Shafi’i yang terkenal, di antara mereka ialah :-
- Abu ‘Abdullah Ahmad bin Hanbal, Imam Mazhab yang keempat. Beliau wafat pada tahun 241H.
- Abu ‘Ali Al-Hasan bin Muhammad Al-Za’farani yang wafat pada tahun 249H.
- Abu Thaur Ibrahim bin Khalid Al-Kalbi yang wafat pada tahun 240H.
- Al-Harith bin Suraij Al-Naqqal, Abu ‘Umar. Beliau wafat pada tahun 236H.
- Abu ‘Ali Al-Husain bin ‘Ali Al-Karabisi yang wafat pada tahun 245H.
- Abu ‘Abdul RahmanAhmad bin Yahya Al-Mutakallim. Tidak diketahui tarikh wafatnya.
- Abu Zaid ‘Abdul Hamid bin Al-Walid Al-Misri yang wafat pada tahun 211H.
- Al-Husain Al-Qallas. Tidak diketahui tarikh wafatnya.
- ‘Abdul ‘Aziz bin Yahya Al-Kannani yang wafat pada tahun 240H.
- ‘Ali bin ‘Abdullah Al-Mudaiyini.
Di Mesir pula terdapat sebilangan tokoh ulama yang kesemua mereka adalah sahabat Imam Asy Syafi’i, seperti :-
- Abu Ibrahim Isma’il bin Yahya bin ‘Amru bin Ishak Al-Mudhani yang wafat pada tahun 264H.
- Abu Muhammad Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi yang wafat pada tahun 270H.
- Abu Ya’kub Yusuf bin Yahya Al-Misri Al-Buwaiti yang wafat pada tahun 232H.
- Abu Najib Harmalah bin Yahya Al-Tajibi yang wafat pada tahun 243H.
- Abu Musa Yunus bin ‘Abdul A’la Al-Sadaghi yang wafat pada tahun 264H.
- Abu ‘Abdullah Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Hakam Al-Misri yang wafat pada tahun 268H.
- Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Jizi yang wafat pada tahun 256H.
Dari usaha gigih mereka, Mazhab Asy Syafi’i tersebar dan berkembang luas di seluruh rantau Islam di zaman-zaman berikutnya.
Perkembangan Mazhab Imam Asy Syafi’i
Menurut Ibn Al-Subki bahawa Mazhab Asy
Syafi’i telah berkembang dan menjalar pengaruhnya di merata-rata
tempat, di kota dan di desa, di seluruh rantau negara Islam.
Pengikut-pengikutnya terdapat di Iraq dan kawasan-kawasan sekitarnya, di
Naisabur, Khurasan, Muru, Syria, Mesir, Yaman, Hijaz, Iran dan di
negara-negara timur lainnya hingga ke India dan sempadan negara China.
Penyebaran yang sebegini meluas setidak-tidaknya membayangkan kepada
kita sejauh mana kewibawaan peribadi Imam Al-Shafi’i sebagai seorang
tokoh ulama dan keunggulan Mazhabnya sebagai satu-satunya aliran fiqah
yang mencabar aliran zamannya.
Imam Asy Syafi’i Dan Kitabnya
Permulaan Mazhabnya
Sebenarnya penulisan Imam Asy Syafi’i
secara umumnya mempunyai pertalian yang rapat dengan pembentukan
Mazhabnya. Menurut Muhammad Abu Zahrah bahawa pembentukan Mazhabnya
hanya bermula sejak sekembalinya dari kunjungan ke Baghdad pada tahun
186H. Sebelum itu Al-Shafi’i adalah salah seorang pengikut Imam Malik
yang sering mempertahankan pendapatnya dan juga pendapat fuqaha’
Al-Madinah lainnya dari kecaman dan kritikan fuqaha’ Ahl Al-Ra’y.
Sikapnya yang sebegini meyebabkan beliau terkenal dengan panggilan
“Nasir Al-Hadith”.
Detik terawal Mazhabnya bermula
apabila beliau membuka tempat pengajarannya (halqah) di Masjid Al-Haram.
Usaha beliau dalam memperkembangkan Mazhabnya itu bolehlah dibahagikan
kepada tiga peringkat :-
1. Peringkat Makkah (186 – 195H)
2. Peringkat Baghdad (195 – 197H)
3. Peringkat Mesir (199 – 204H)
Dalam setiap peringkat diatas beliau
mempunyai ramai murid dan para pengikut yang telah menerima dan menyebar
segala pendapat ijtihad dan juga hasil kajiannya.
Penulisan Pertamanya
Memang agak sulit untuk menentukan
apakah kitab pertama yang dihasilkan oleh Asy Syafi’i dan di mana dan
selanjutnya apakah kitab pertama yang dihasilkannya dalam Ilmu Fiqah dan
di mana? Kesulitan ini adalah berpunca dari tidak adanya keterangan
yang jelas mengenai kedua-dua perkara tersebut. Pengembaraannya dari
satu tempat ke satu tempat yang lain dan pulangnya semula ke tempat
awalnya tambah menyulitkan lagi untuk kita menentukan di tempat mana
beliau mulakan usaha penulisannya.
Apa yang kita temui – sesudah kita
menyemak beberapa buah kitab lama dan baru yang menyentuh sejarah
hidupnya, hanya beberapa tanda yang menunjukkan bahawa kitabnya
“Al-Risalah” adalah ditulis atas permintaan ‘Abdul Rahman bin Mahdi,
iaitu sebuah kitab di dalam Ilmu Usul, pun keterangan ini tidak juga
menyebut apakah kitab ini merupakan hasil penulisannya yang pertama atau
sebelumnya sudah ada kitab lain yang dihasilkannya. Di samping adanya
pertelingkahan pendapat di kalangan ‘ulama berhubung dengan tempat di
mana beliau menghasilkan penulisan kitabnya itu. Ada pendapat yang
mengatakan bahawa beliau menulisnya sewaktu beliau berada di Makkah dan
ada juga pendapat yang mengatakan bahawa beliau menulisnya ketika berada
di Iraq.
Kata Ahmad Muhammad Shakir : “Asy
Syafi’i telah mengarang beberapa buah kitab yang jumlahnya agak besar,
sebahagiannya beliau sendiri yang menulisnya, lalu dibacakannya kepada
orang ramai. Sebahagiannya pula beliau merencanakannya sahaja kepada
para sahabatnya. Untuk mengira bilangan kitab-kitabnya itu memanglah
sukar kerana sebahagian besarnya telahpun hilang. Kitab-kitab itu telah
dihasilkan penulisannya ketika beliau berada di Makkah, di Baghdad dan
di Mesir”.
Kalaulah keterangan di atas boleh
dipertanggungjawabkan maka dapatlah kita membuat satu kesimpulan bahawa
Asy Syafi’i telah memulakan siri penulisannya sewaktu beliau di Makkah
lagi, dan kemungkinan kitabnya yang pertama yang dihasilkannya ialah
kitab “Al-Risalah”.
Al-Hujjah Dan Kitab-kitab Mazhab Qadim
Di samping “Al-Risalah” terdapat
sebuah kitab lagi yang sering disebut-sebut oleh para ulama sebagai
sebuah kitab yang mengandungi fatwa Mazhab Qadimnya iaitu “Al-Hujjah”.
Pun keterangan mengenai kitab ini tidak menunjukkan bahawa ia adalah
kitab pertama yang di tulis di dala bidang Ilmu Fiqah semasa beliau
berada di Iraq, dan masa penulisannya pun tidak begitu jelas. Menurut
beberapa keterangan, beliau menghasilkannya sewaktu beliau berpindah ke
negara itu pada kali keduanya, iaitu di antara tahun-tahun 195 – 197H.
Bersama-sama “Al-Hujjah” itu terdapat
beberapa buah kitab lain di dalam Ilmu Fiqah yang beliau hasilkan
sendiri penulisannya atau beliau merencanakannya kepada para sahabatnya
di Iraq, antaranya seperti kitab-kitab berikut :-
1. Al-Amali
2. Majma’ al-Kafi
3. ‘Uyun al-Masa’il
4. Al-Bahr al-Muhit
5. Kitab al-Sunan
6. Kitab al-Taharah
7. Kitab al-Solah
8. Kitab al-Zakah
9. Kitab al-Siam
10. Kitab al-Haj
11. Bitab al-I’tikaf
12. Kitab al-Buyu’
13. Kitab al-Rahn
14. Kitab al-Ijarah
15. Kitab al-Nikah
16. Kitab al-Talaq
17. Kitab al-Sadaq
18. Kitab al-Zihar
19. Kitab al-Ila’
20. Kitab al-Li’an
21. Kitab al-Jirahat
22. Kitab al-Hudud
23. Kitab al-Siyar
24. Kitab al-Qadaya
25. Kitab Qital ahl al-Baghyi
26. Kitab al-‘Itq dan lain-lain
Setengah perawi pula telah menyebut
bahwa kitab pertama yang dihasilkan oleh Asy Syafi’i adalah di dalam
bentuk jawaban dan perdebatan, yaitu satu penulisan yang dituju khas
kepada fuqaha’ ahl al-Ra’y sebagai menjawab kecaman-kecaman mereka
terhadap Malik dan fuqaha’ Al-Madinah. Kenyataan mereka ini berdasarkan
kepada riwayat Al-Buwaiti : “Kata Asy Syafi’i: Ashab Al-Hadith (pengikut
Imam Malik) telah berhimpun bersama-sama saya. Mereka telah meminta
saya menulis satu jawaban terhadap kitab Abu Hanifah. Saya menjawab
bahawa saya belum lagi mengetahui pendapat mereka, berilah peluang
supaya dapat saya melihat kitab-kitab mereka. Lantas saya meminta supaya
disalinkan kitab-kitab itu.Lalu disalin kitab-kitab Muhammad bin
Al-Hasan untuk (bacaan) saya. Saya membacanya selama setahun sehingga
saya dapat menghafazkan kesemuanya. Kemudian barulah saya menulis kitab
saya di Baghdad.
Kalaulah berdasarkan kepada keterangan
di atas, maka kita pertama yang dihasilkan oleh Asy Syafi’i semasa
beliau di Iraq ialah sebuah kitab dalam bentuk jawaban dan perdebatan,
dan cara penulisannya adalah sama dengan cara penulisan ahl al-Ra’y. Ini
juga menunjukkan bahawa masa penulisannya itu lebih awal dari masa
penulisan kitab “Al-Risalah”, iaitu di antara tahun-tahun 184 – 186H.
Methode Penulisan Kitab-Kitab Qadim
Berhubung dengan method penulisan
kitab “Al-Hujjah” dan lain-lain belum dapat kita pastikan dengan yakin
kerana sikap asalnya tida kita temui, kemungkinan masih lagi ada naskah
asalnya dan kemungkinan juga ianya sudah hilang atau rosak dimakan
zaman. Walaubagaimanapun ia tidak terkeluar – ini hanya satu kemungkinan
sahaja – dari method penulisan zamannya yang dipengaruhi dengan aliran
pertentangan mazhab-mazhab fuqaha’ di dalam beberapa masalah, umpamanya
pertentangan yang berlaku di antara mazhab beliau dengan Mazhab Hanafi
da juga Mazhab Maliki. Keadaan ini dapat kita lihat dalam penulisan
kitab “Al-Umm” yang pada asalnya adalah kumpulan dari beberapa buah
kitab Mazhab Qadimnya. Setiap kitab itu masing-masing membawa tajuknya
yang tersendiri, kemudian kita itu pula dipecahkan kepada bab-bab kecil
yang juga mempunyai tajuk-tajuk yang tersendiri. Di dalam setiap bab ini
dimuatkan dengan segala macam masalah fiqah yang tunduk kepada tajuk
besar iaitu tajuk bagi sesuatu kitab, umpamanya kitab “Al-Taharah”, ia
mengandungi tiga puluh tujuh tajuk bab kecil, kesemua kandungan bab-bab
itu ada kaitannya dengan Kitab “Al-Taharah”.
Perawi Mazhab Qadim
Ramai di antara para sahabatnya di
Iraq yang meriwayat fatwa qadimnya, di antara mereka yang termasyhur
hanya empat orang sahaja :
1. Abu Thaur, Ibrahim bin Khalid yang wafat pada tahun 240H.
2. Al-Za’farani, Al-Hasan bin Muhammad bin Sabah yang wafat pada tahun 260H.
3. Al-Karabisi, Al-Husain bin ‘Ali bin Yazid, Abu ‘Ali yang wafat pada tahun 245H.
4. Ahmad bin Hanbal yang wafat pada tahun 241H.
Menurut Al-Asnawi, Asy Syafi’i adalah ‘ulama’ pertama yang hasil penulisannya meliputi banyak bab di dalam Ilmu Fiqah.
Perombakan Semula Kitab-kitab Qadim
Perpindahan beliau ke Mesir pada tahun
199H menyebabkan berlakunya satu rombakan besar terhadap fatwa lamanya.
Perombakan ini adalah berpuncak dari penemuan beliau dengan dalil-dalil
baru yang belum ditemuinya selama ini, atau kerana beliau mendapati
hadis-hadis yang sahih yang tidak sampai ke pengetahuannya ketika beliau
menulis kitab-kitab qadimnya, atau kerana hadis-hadis itu terbukti
sahihnya sewaktu beliau berada di Mesir sesudah kesahihannya selama ini
tidak beliau ketahui. Lalu dengan kerana itu beliau telah menolak
sebahagian besar fatwa lamanya dengan berdasarkan kepada prinsipnya :
“Apabila ditemui sesebuah hadis yang sahih maka itulah Mazhab saya”.
Di dalam kitab “Manaqib Asy Syafi’i”,
Al-Baihaqi telah menyentuh nama beberapa buah kitab lama (Mazhab Qadim)
yang disemak semula oleh Asy Syafi’i dan diubah sebagian fatwanya, di
antara kitab-kitab itu ialah :-
1. Al-Risalah
2. Kitab al-Siyam
3. Kitab al-Sadaq
4. Kitab al-Hudud
5. Kitab al-Rahn al-Saghir
6. Kitab al-Ijarah
7. Kitab al-Jana’iz
Menurut Al-Baihaqi lagi Asy Syafi’i
telah menyuruh supaya dibakar kitab-kitab lamanya yang mana fatwa
ijtihadnya telah diubah. Catatan Al-Baihaqi itu menunjukkan bahawa Asy
Syafi’i melarang para sahabatnya meriwayat pendapat-pendapat lamanya
yang ditolak kepada orang ramai. Walaupun begitu kita masih menemui
pendapat-pendapat itu berkecamuk di sana-sini di dalam kitab-kitab
fuqaha’ mazhabnya samada kitab-kitab yang ditulis fuqaha’ yang terdahulu
atau pun fuqaha’ yang terkemudian.
Kemungkinan hal ini berlaku dengan
kerana kitab-kitab lamanya yang diriwayatkan oleh Al-Za’farani,
Al-Karabisi dan lain-lain sudah tersebar dengan luasnya di Iraq dan
diketahui umum, terutamanya di kalangan ulama dan mereka yang menerima
pendapat-pendapatnya itu tidak mengetahui larangan beliau itu.
Para
fuqaha’ itu bukan sahaja mencatat pendapat-pendapat lamanya di dalam
penulisan mereka, malah menurut Al-Nawawi ada di antara mereka yang
berani mentarjihkan pendapat-pendapat itu apabila mereka mendapatinya
disokong oleh hadis-hadis yang sahih.
Pentarjihan mereka ini tidak pula
dianggap menentangi kehendak Al-Shafi’i, malahan itulah pendapat
mazhabnya yang berdasarkan kepada prinsipnya : “Apabila ditemui sesebuah
hadis yang sahih maka itulah mazhab saya”.
Tetapi apabila sesuatu pendapat
lamanya itu tidak disokong oleh hadis yang sahih kita akan menemui dua
sikap di kalangan fuqaha’ Mazhab Asy Syafi’i:-
Pertamanya : Pendapat itu harus
dipilih dan digunakan oleh seseorang mujtahid Mazhab Asy Syafi’i atas
dasar ia adalah pendapat Asy Syafi’i yang tidak dimansuhkan olehnya,
kerana seseorang mujtahid (seperti Asy Syafi’i) apabila ia mengeluarkan
pendapat barumya yang bercanggah dengan pendapat lamanya tidaklah
bererti bahawa ia telah menarik pendapat pertamanya, bahkan di dalam
masalah itu dianggap mempunyai dua pendapatnya.
Keduanya : Tidak harus ia memilih
pendapat lama itu. Inilah pendapat jumhur fuqaha’ Mazhab Asy Syafi’i
karena pendapat lama dan baru adalah dua pendapatnya yang bertentangan
yang mustahil dapat diselaraskan kedua-duanya.
Kitab-kitab Mazhab Jadid
Di antara kitab-kitab yang beliau
hasilkan penulisannya di Mesir atau beliau merencanakannya kepada para
sahabatnya di sana ialah :-
i. Al-Risalah. Kitab ini telah ditulis buat pertama kalinya sebelum beliau berpindah ke Mesir.
ii. Beberapa buah kitab di dalam hukum-hukum furu’ yang terkandung di dalam kitab “Al-Um”, seperti :-
a) Di dalam bab Taharah :
1. Kitab al-Wudu’
2. Kitab al-Tayammum
3. Kitab al-Taharah
4. Kitab Masalah al-Mani
5. Kitab al-Haid
B) Di dalam bab Solah :
6. Kitab Istiqbal al-Qiblah
7. Kitab al-Imamah
8. Kitab al-Jum’ah
9. Kitab Solat al-Khauf
10. Kitab Solat al-‘Aidain
11. Kitab al-Khusuf
12. Kitab al-Istisqa’
13. Kitab Solat al-Tatawu’
14. Al-Hukm fi Tarik al-Solah
15. Kitab al-Jana’iz
16. Kitab Ghasl al-Mayyit
c) Di dalam bab Zakat :
17. Kitab al-Zakah
18. Kitab Zakat Mal al-Yatim
19. Kitab Zakat al-Fitr
20. Kitab Fard al-Zakah
21. Kitab Qasm al-Sadaqat
d) Di dalam bab Siyam (Puasa) :
22. Kitab al-Siyam al-Kabir
23. Kitab Saum al-Tatawu’
24. Kitab al-I’tikaf
e) Di dalam bab Haji :
25. Kitab al-Manasik al-Kabir
26. Mukhtasar al-Haj al-Kabir
27. Mukhtasar al-Haj al-Saghir
f) Di dalam bab Mu’amalat :
28. Kitab al-Buyu’
29. Kitab al-Sarf
30. Kitab al-Salam
31. Kitab al-Rahn al-Kabir
32. Kitab al-Rahn al-Saghir
33. Kitab al-Taflis
34. Kitab al-Hajr wa Bulugh al-Saghir
35. Kitab al-Sulh
36. Kitab al-Istihqaq
37. Kitab al-Himalah wa al-Kafalah
38. Kitab al-Himalah wa al-Wakalah wa al-Sharikah
39. Kitab al-Iqrar wa al-Mawahib
40. Kitab al-Iqrar bi al-Hukm al-Zahir
41. Kitab al-Iqrar al-Akh bi Akhihi
42. Kitab al-‘Ariah
43. Kitab al-Ghasb
44. Kitab al-Shaf’ah
g) Di dalam bab Ijarat (Sewa-menyewa) :
45. Kitab al-Ijarah
46. Kitab al-Ausat fi al-Ijarah
47. Kitab al-Kara’ wa al-Ijarat
48. Ikhtilaf al-Ajir wa al-Musta’jir
49. Kitab Kara’ al-Ard
50. Kara’ al-Dawab
51. Kitab al-Muzara’ah
52. Kitab al-Musaqah
53. Kitab al-Qirad
54. Kitab ‘Imarat al-Aradin wa Ihya’ al-Mawat
h) Di dalam bab ‘Ataya (Hadiah-menghadiah) :
55. Kitab al-Mawahib
56. Kitab al-Ahbas
57. Kitab al-‘Umra wa al-Ruqba
i) Di dalam bab Wasaya (Wasiat) :
58. Kitab al-Wasiat li al-Warith
59. Kitab al-Wasaya fi al-‘Itq
60. Kitab Taghyir al-Wasiah
61. Kitab Sadaqat al-Hay’an al-Mayyit
62. Kitab Wasiyat al-Hamil
j) Di dalam bab Faraid dan lain-lain :
63. Kitab al-Mawarith
64. Kitab al-Wadi’ah
65. Kitab al-Luqatah
66. Kitab al-Laqit
k) Di dalam bab Nikah :
67. Kitab al-Ta’rid bi al-Khitbah
68. Kitab Tahrim al-Jam’i
69. Kitab al-Shighar
70. Kitab al-Sadaq
71. Kitab al-Walimah
72. Kitab al-Qism
73. Kitab Ibahat al-Talaq
74. Kitab al-Raj’ah
75. Kitab al-Khulu’ wa al-Nushuz
76. Kitab al-Ila’
77. Kitab al-Zihar
78. Kitab al-Li’an
79. Kitab al-‘Adad
80. Kitab al-Istibra’
81. Kitab al-Rada’
82. Kitab al-Nafaqat
l) Di dalam bab Jirah (Jenayah) :
83. Kitab Jirah al-‘Amd
84. Kitab Jirah al-Khata’ wa al-Diyat
85. Kitab Istidam al-Safinatain
86. Al-Jinayat ‘ala al-Janin
87. Al-Jinayat ‘ala al-Walad
88. Khata’ al-Tabib
89. Jinayat al-Mu’allim
90. Jinayat al-Baitar wa al-Hujjam
91. Kitab al-Qasamah
92. Saul al-Fuhl
m) Di dalam bab Hudud :
93. Kitab al-Hudud
94. Kitab al-Qat’u fi al-Sariqah
95. Qutta’ al-Tariq
96. Sifat al-Nafy
97. Kitab al-Murtad al-Kabir
98. Kitab al-Murtad al-Saghir
99. Al-Hukm fi al-Sahir
100. Kitab Qital ahl al-Baghy
n) Di dalam bab Siar dan Jihad :
101. Kitab al-Jizyah
102. Kitab al-Rad ‘ala Siyar al-Auza’i
103. Kitab al-Rad ‘ala Siyar al-Waqidi
104. Kitab Qital al-Mushrikin
105. Kitab al-Asara wa al-Ghulul
106. Kitab al-Sabq wa al-Ramy
107. Kitab Qasm al-Fai’ wa al-Ghanimah
o) Di dalam bab At’imah (Makan-makanan) :
108. Kitab al-Ta’am wa al-Sharab
109. Kitab al-Dahaya al-Kabir
110. Kitab al-Dahaya al-Saghir
111. Kitab al-Said wa al-Dhabaih
112. Kitab Dhabaih Bani Israil
113. Kitab al-Ashribah
p) Di dalam bab Qadaya (Kehakiman) :
114. Kitab Adab al-Qadi
115. Kitab al-Shahadat
116. Kitab al-Qada’ bi al-Yamin ma’a al-Shahid
117. Kitab al-Da’wa wa al-Bayyinat
118. Kitab al-Aqdiah
119. Kitab al-Aiman wa al-Nudhur
q) Di dalam bab ‘Itq (Pembebasan) dan lain-lain :
120. Kitab al-‘Itq
121. Kitab al-Qur’ah
122. Kitab al-Bahirah wa al-Sa’ibah
123. Kitab al-Wala’ wa al-Half
124. Kitab al-Wala’ al-Saghir
125. Kitab al-Mudabbir
126. Kitab al-Mukatab
127. Kitab ‘Itq Ummahat al-Aulad
128. Kitab al-Shurut
Di samping kitab-kitab di atas ada
lagi kitab-kitab lain yang disenaraikan oleh al-Baihaqi sebagai
kitab-kitab usul, tetapi ia juga mengandungi hukum-hukum furu’, seperti
:-
1. Kitab Ikhtilaf al-Ahadith
2. Kitab Jima’ al-Ilm
3. Kitab Ibtal al-Istihsan
4. Kitan Ahkam al-Qur’an
5. Kitab Bayan Fard al-Lah, ‘Azza wa Jalla
6. Kitab Sifat al-Amr wa al-Nahy
7. Kitab Ikhtilaf Malik wa al-Shafi’i
8. Kitab Ikhtilaf al-‘Iraqiyin
9. Kitab al-Rad ‘ala Muhammad bin al-Hasan
10. Kitab ‘Ali wa ‘Abdullah
11. Kitab Fada’il Quraysh
Ada
sebuah lagi kitab Asy Syafi’i yang dihasilkannya dalam Ilmu Fiqah iaitu
“al-Mabsut”. Kitab ini diperkenalkan oleh al-Baihaqi dan beliau
menamakannya dengan “al-Mukhtasar al-Kabir wa al-Manthurat”, tetapi pada
pendapat setengah ulama kemungkinan ia adalah kitab “al-Umm”.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar